loading...
$%Impian seorang remaja perempuan untuk mengecapi kebahagiaan alam perkahwinan selepas mengambil keputusan berkahwin dalam usia muda, tidak kesampaian apabila ikatan dibina dengan suaminya itu terlerai dipercayai akibat tidak sehaluan lagi.
Gadis berkenaan, 15, dinikahkan dengan seorang pemuda berusia 30-an, pada 12 September tahun lalu, sebelum pasangan itu didakwa bercerai dengan talak tiga pada 23 Julai lalu iaitu kurang setahun selepas disatukan.
Ibunya yang berusia 45 tahun berkata, walaupun pahit untuk menerima kenyataan itu, namun dia menerima keputusan yang telah dibuat pasangan terbabit dengan hati tenang dan menganggap bukan jodoh mereka untuk terus bersama.
Menurutnya, apa yang telah berlaku mungkin suratan takdir, malah dia reda kerana semua kejadian itu pasti mempunyai hikmah di sebaliknya dan dia juga mengakui tahu punca sebenar yang membawa keretakan rumah tangga anaknya itu.
Bagaimanapun, si ibu enggan mendedahkan kisah peribadi anaknya demi kebaikan si anak dan bekas keluarga menantunya yang juga berasal dari negeri ini.
“Siapa yang tidak sayangkan anak. Terjadi pula perkara macam ini dalam usia yang masih muda, memang saya sedih. Namun saya berpesan kepada anak agar dia sentiasa tabahkan hati, kerana usianya masih muda dan banyak lagi perlu dia belajar.
“Kejadian ini diharap memberi pengajaran kepadanya dan anak-anak saya yang lain. Dia juga sudah berhenti sekolah sebelum berkahwin. Selepas bercerai dia kini tinggal bersama saya serta adik-beradiknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurutnya, perkara itu juga sudah pasti memberi pengajaran kepada anaknya selain orang ramai, terutama golongan remaja yang bercinta di usia muda, bahawa bukan mudah untuk mendirikan rumah tangga, kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi selain perlu matang dalam membuat setiap keputusan.
“Cuma saya berharap apa yang terjadi ini akan dilupakannya. Bagi saya, dalam usianya yang kini baru 15 tahun, masanya masih panjang dan dia tidak perlu terlalu risau atau tertekan walaupun bergelar janda dalam usia yang sangat muda.
“Pada masa sama, saya juga berharap perkara ini sudah selesai dengan baik dan mereka berdua dapat menjalani kehidupan masing-masing dengan baik. Saya juga meminta masyarakat tidak pandang serong terhadap anak saya,” katanya.
Menurutnya, sebagai ibu, dia dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan anaknya itu setiap kali anak kelima daripada 10 beradik itu pulang ke rumah ketika masih mempunyai hubungan dengan bekas suaminya.
“Dari riak wajahnya pun saya tahu dia ada masalah yang disembunyikan. Saya sering bertanya mengenai sebarang masalah yang dihadapinya, tetapi dia banyak mendiamkan diri sehinggalah mereka bercerai seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, belum sampai sebulan pun mereka bercerai,” katanya.
Terdahulu, wanita itu mendakwa majlis pernikahan anaknya itu berlangsung di Masjid Temiang, di sini pada 12 September tahun lalu selepas anaknya mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada pihak berkaitan.
Urusan perkahwinan itu diuruskan suaminya, 58, termasuk urusan penceraian anak mereka yang didakwanya hanya dilafazkan melalui panggilan telefon.-sinnar harian
loading...